Tuan Yang di-Pertua,
1. Kementerian melalui Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) telah memperkenalkan program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 atau Low Carbon Cities 2030 Challenge (LCC2030C) pada tahun 2019 dengan sasaran untuk mempercepatkan transformasi bandar ke arah bandar karbon rendah melibatkan lima (5) sektor tumpuan utama yang mempunyai impak tinggi pengurangan pelepasan karbon iaitu tenaga, air, sisa, mobiliti dan kehijauan.
2. MGTC bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemegang taruh berkaitan untuk mewujudkan Zon Rendah Karbon di bandar-bandar seluruh negara dan konsisten dalam pelaksanaan inisiatif untuk mengurangkan pelepasan karbon di zon atau premis masing-masing. Program ini turut memberi penghargaan dan mengiktiraf PBT dan pemegang taruh yang telah berjaya mengurangkan pelepasan karbon di kawasan perbandaran masing-masing melalui Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon yang diadakan secara tahunan.
3. Antara projek-projek yang dilaksanakan dalam elemen tenaga adalah seperti melaksanakan inisiatif kecekapan tenaga dan tenaga boleh baharu, manakala bagi sektor air pula dengan meningkatkan kecekapan penggunaan air dan penggunaan Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH) oleh bangunan-bangunan sebagai salah satu langkah pengurusan air yang berkesan dan mengurangkan penggunaan air terawat bagi kerja-kerja pembersihan, penyiraman pokok bunga dan lain-lain.
4. Di samping itu, pihak PBT juga mempromosikan amalan 3R iaitu Kurang (Reduce), Guna Semula (Reuse), dan Kitar Semula (Recycle) termasuk pengkomposan sisa makanan dan pengasingan sisa pepejal di punca (separation at source) bagi mengelakkan atau mengurangkan jumlah pembuangan sisa ke tapak pelupusan sampah.
5. Bagi sektor mobiliti atau pengangkutan, inisiatif yang boleh dilaksanakan oleh PBT adalah menggalakkan mobiliti aktif iaitu berbasikal dan berjalan kaki dengan menyediakan infrastruktur pejalan kaki berkanopi dan laluan khas untuk basikal dan menggalakkan penggunaan sistem pengangkutan awam. Dari segi kehijauan, pihak PBT juga disarankan untuk mengekalkan pokok-pokok teduhan dan memperbanyakkan kawasan hijau di kawasan perbandaran.
6. Sehingga tahun 2023, sebanyak 70 PBT telah mewujudkan 63 zon rendah karbon yang turut melibatkan 149 rakan kongsi rendah karbon. Dari segi pencapaian, sebanyak 3,531,476.12 tan karbon dioksida setara telah dikurangkan dan jumlah penyerapan karbon (carbon sequestration) yang dicapai melalui inisiatif ini juga adalah sebanyak 45,195.22 tan karbon dioksida yang bersamaan dengan penanaman 88.3 juta batang pokok atau penyingkiran penggunaan sebanyak 764,448 buah kereta setahun dari jalan raya.
Sekian, terima kasih.