Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

27 March 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Mineral, Geosains

Nombor Soalan

19

Soalan

Dr. Wan Martina binti Wan Yusoff minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan bagaimanakah pihak Kerajaan merancang untuk mengimbangi faedah ekonomi perlombongan unsur nadir bumi (REE) dengan kesan alam sekitar dalam jangka masa panjang ke atas ekosistem hutan dan biodiversiti yang berkaitan sekiranya melibatkan Hutan Simpan Kekal (HSK) negara.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Malaysia adalah berbeza dengan sumber dari kebanyakan negara lain. Sumber NR-REE di negara ini diperolehi daripada lempung jerapan ion yang tertabur secara meluas terutama di kawasan batuan granitik terluluhawa di Malaysia. Ianya bersifat bukan radioaktif dan berpotensi untuk dilombong secara berekonomi.


  1. Kaedah perlombongan secara in-situ leaching (ISL) yang digunakan bagi mengekstrak sumber NR-REE merupakan kaedah yang lebih selamat dan mesra alam. Kaedah ini melibatkan aktiviti pembukaan tanah yang minimum bagi tujuan penyediaan tapak loji hidrometalurgi dan fasiliti lain seperti laluan akses, serta saliran dan kolam pengumpulan NR-REE sahaja. Penggunaan kaedah ini tidak melibatkan penebangan hutan dalam skala yang besar dan pengorekan keluar tanah beban dan tanah berbijih seperti mana kaedah perlombongan konvensional. Kaedah ISL telah ditetapkan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan NR-REE yang dibangunkan Kementerian untuk mewujudkan panduan kawal selia kepada aktiviti perlombongan NR-REE.


  1. Bagi memastikan aktiviti perlombongan tidak memberikan impak kepada alam sekitar, pemantauan dan kawalan secara berterusan akan dilaksanakan melalui pelbagai mekanisme termasuklah pemantauan kualiti efluen/air secara berterusan. Berdasarkan hasil pengauditan yang dijalankan di Projek Perintis di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak, Jawatankuasa Audit yang dilantik mendapati bahawa kualiti air di kawasan tapak projek mematuhi had yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Efluen) 2016.


  1. Kementerian juga sedang memperhalusi dan memperincikan kebolehlaksanaan perlombongan di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK), Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS), dan Rizab Perlindungan terhadap kesan alam sekitar dalam jangka masa panjang ke atas ekosistem hutan dan biodiversiti. Kementerian juga akan mengambil kira pandangan daripada semua pemegang taruh serta Pihak Berkuasa Negeri (PBN), disamping kesannya terhadap kelestarian alam sekitar.



Sekian, terima kasih.



Attachments