Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 01 April 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Perubahan Iklim | Nombor Soalan | 74 | Soalan | Tuan Haji Abdul Nasir bin Haji Idris minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan langkah-langkah segera yang diambil oleh Kerajaan dalam menghadapi musim kemarau El Nino yang dijangka bermula dari Mac hingga Ogos ini.
| Jawapan | Soalan ini dijawab bersekali dengan soalan no.10 pada 25 Mac
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Senator. Fenomena El Nino yang melanda negara sekarang mengakibatkan keadaan cuaca panas dan kering. Keadaan ini akan menyebabkan kejadian pembakaran termasuk pembakaran terbuka lebih mudah terjadi dan sukar dikawal apabila melibatkan tanah gambut sekaligus mendatangkan kesan kepada alam sekitar dan masalah jerebu. Ia turut menjejaskan sumber air bagi tujuan minuman dan pertanian.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar melalui agensi seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menggerakkan usaha-usaha pencegahan kebakaran seperti berikut: mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) sejak 16 Februari 2024 kepada semua kementerian, jabatan dan agensi berkaitan serta kerajaan negeri; mengaktifkan Prosedur Tetap Operasi (SOP) Pencegahan Pembakaran Terbuka dan SOP Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut sejak 16 Februari 2024 kepada JAS Negeri dan agensi pelaksana; mempertingkatkan rondaan darat dan pemantauan menggunakan dron di kawasan yang telah dikenal pasti mudah terbakar; dan pembinaan infrastruktur utama bagi menangani kebakaran tanah gambut. Sehingga kini, sebanyak 305 buah check dam,101 buah tube well, 15 buah kolam takungan, 6 buah menara tinjau, 3.3 km saluran paip air dan 82 piezometer telah dibina.
Manakala Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) terus melakukan pemantauan secara berterusan seperti berikut: pemantauan suhu maksimum harian pada setiap hari; pelaporan bilangan hari tanpa hujan setiap hari; penyediaan maklumat dan ramalan kawasan yang berisiko untuk pembakaran melalui indeks Fire Danger Rating System (FDRS) yang dikemaskini setiap hari; pemantauan status El-Niňo dan ia dikemaskini pada setiap bulan; dan pengeluaran Indeks Pemantauan Kemarau (SPI) yang dikemaskini pada setiap bulan bagi memantau situasi kemarau berdasarkan Peraturan Tetap Pengendalian Bencana Kemarau Kebangsaan.
MET Malaysia juga turut melakukan Operasi Pembenihan Awan (OPA) dengan kerjasama NADMA dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi meningkatkan paras air bagi kegunaan domestik, penjanaan kuasa elektrik dan pertanian. Sehingga kini OPA telah dilaksanakan di Empangan Teluk Bahang dan Air Itam (Pulau Pinang) dan Empangan Bukit Merah (Perak) pada 27 dan 28 Februari 2024. Manakala, untuk timur laut dan barat Sabah, OPA dirancang untuk diadakan pada 28 hingga 30 Mac 2024 ini.
Malaysia kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga penghujung Mac 2024. Fasa peralihan monsun dijangka berlaku dalam bulan April sehingga Mei 2024 dan pada kebiasaannya akan diikuti dengan Monsun Barat Daya dari Jun sehingga September 2024. Semasa tempoh peralihan monsun, hujan dan ribut petir yang dijangka lebih kerap akan berlaku pada waktu petang sehingga waktu malam di kebanyakan tempat di barat Semenanjung, barat Sabah serta tengah dan barat Sarawak. Fenomena El-Niňo dijangka berkurangan dan menjadi Neutral pada pertengahan tahun 2024.
Saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia untuk melawat laman sesawang dan media sosial rasmi MET Malaysia untuk mendapatkan maklumat terkini cuaca.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|