Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 02 April 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Perhutanan, Biodiversiti | Nombor Soalan | 18 | Soalan | Tuan Abun Sui Anyit minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah langkah-langkah yang telah lakukan oleh Kementerian untuk mengurangkan kesan penebangan hutan akibat pembalakan yang tidak terkawal sehingga menyebabkan banjir besar yang kerap berlaku dan menenggelamkan rumah penduduk kampung.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua, Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa urusan berkaitan tanah dan hutan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Pihak Berkuasa Negeri mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen mengambil hasil hutan daripada Hutan Simpanan Kekal (HSK) sebagaimana peruntukan seksyen di bawah Bab 2-Lesen, Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313]. Bidang kuasa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) adalah dalam memberikan nasihat teknikal mengenai pengurusan dan pembangunan hutan serta menjalankan penyelidikan dan khidmat latihan.
Secara umumnya, aktiviti pembalakan di negara ini melibatkan tiga kawasan iaitu HSK yang dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran, Tanah Kerajaan dan Tanah Berimilik. Pembalakan Hutan Pengeluaran dalam HSK dilaksanakan secara terkawal melalui Catuan Tebangan Tahunan (CTT) berdasarkan prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management – SFM) serta Sistem Pengurusan Memilih (Selective Management System - SMS).
Antara langkah yang perlu dilaksanakan sebelum aktiviti pembalakan dibenarkan dalam kawasan HSK adalah:
Penetapan dan pematuhan kepada CTT oleh semua negeri. Kadar CTT ini dipersetujui dan diluluskan oleh Majlis Tanah Negara (MTN) bagi tempoh lima (5) tahun mengikut Rancangan Malaysia dan sehingga kini, semua negeri mematuhi ketetapan CTT ini; Pelesen disyaratkan untuk menyediakan Rancangan Mengusaha Hasil Hutan (RMH) sebelum lesen pengusahasilan hutan dikeluarkan. RMH ini disediakan bagi perancangan pelaksanaan aktiviti pengusahasilan di dalam kawasan lesen; Hanya pokok yang matang dan ditanda untuk ditebang sahaja yang boleh diusaha hasil. Sementara itu, pokok-pokok yang mempunyai nilai perlindungan seperti pokok ibu, pokok buah-buahan untuk kepentingan hidupan liar dan spesies-spesies pokok yang dikategorikan sebagai Sangat Terancam, Terancam dan Jarang Ditemui (Endangered, Rare and Threatened -ERT) tidak dibenarkan ditebang; Jabatan Perhutanan Negeri juga menetapkan had pengeluaran iaitu isipadu maksimum yang dibenarkan untuk dikeluarkan bagi setiap kawasan yang dilesenkan. Had pengeluaran ini adalah bertujuan untuk memastikan dirian pokok yang ditinggalkan adalah mencukupi bagi pusingan tebangan yang akan datang; Kawasan-kawasan yang mempunyai nilai perlindungan seperti kawasan tadahan air, kawasan zon penampan sungai, kawasan yang berkecerunan 40 darjah, jenut hidupan liar (salt-licks) dan kawasan sensitif alam sekitar yang terdapat di dalam kawasan lesen tidak dibenarkan diusaha hasil; Pelaksanaan dan pematuhan kepada Garis Panduan Jalan Hutan (Pindaan 2013) dan Garis Panduan Pembalakan Berimpak Rendah (RIL) bagi meminimumkan kesan aktiviti pengusahasilan hutan terhadap alam sekitar; dan Pelaksanaan pensijilan Malaysian Criteria and Indicators for Sustainable Forest Management Certification (MC&I SFM) bagi negeri-negeri yang terlibat dengan aktiviti pengeluaran hasil kayu balak yang diaudit oleh badan bebas seperti SIRIM. Sijil ini adalah sebagai kayu pengukur pelaksanaan prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa bagi mencerminkan pelaksanaan pengurusan hutan mampan yang diamalkan di negara kita.
Manakala, aktiviti pembalakan di luar HSK iaitu di kawasan Tanah Kerajaan (TK) dan Tanah Berimilik (TM) dilakukan untuk tujuan pembangunan tanah dan lazimnya dilakukan secara tebang habis. Bagi perlesenan pembalakan di kawasan TK dan TM pula adalah tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan Perintah Kualiti Alam Sekeliling [Aktiviti Yang Ditetapkan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) 2015] yang dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Jabatan Perhutanan Negeri akan mengeluarkan lesen pembalakan selepas laporan EIA diluluskan oleh JAS.
Selain itu, JPSM turut mengeluarkan Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia pada tahun 2016, iaitu ‘Panduan Amalan Baik Hutan (Good Forest Practices) untuk Pengusahasilan Kayu Kayan Tanah Kerajaan’ yang tidak membenarkan sebarang aktiviti pengusahahasilan hutan semasa musim hujan bagi mengurangkan impak ke atas hakisan tanah dan habitat flora dan fauna.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|