Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 02 April 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Perhutanan, Biodiversiti | Nombor Soalan | 32 | Soalan | Datuk Haji Aziz bin Ariffin minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah tindakan dan perancangan yang dilakukan oleh Kerajaan bagi mengekalkan kawasan-kawasan hutan sebagai hutan simpan khususnya hutan simpan bakau di Perlis yang berperanan sebagai perlindungan kepada hidupan liar dan penghadang ombak tinggi di kawasan perairan.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, tragedi tsunami yang melanda pantai barat laut Semenanjung Malaysia pada 26 Disember 2004 telah membuktikan peranan hutan paya laut sebagai pemecah ombak dan penstabil bagi kawasan pesisiran pantai. Kawasan yang mempunyai hutan paya laut yang luas dan padat didapati mengalami kemusnahan dan kerosakan yang minimum.
Menyedari kepentingan hutan paya laut kepada kestabilan ekosistem kawasan pesisiran pantai, Kerajaan Persekutuan telah melancarkan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-Spesies Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara pada 7 Februari 2005. Program nasional jangka panjang ini bertujuan memelihara dan memulihara ekosistem hutan paya laut yang penting untuk menjamin kestabilan kawasan pesisiran pantai, termasuk berfungsi sebagai benteng untuk memecah, menahan dan mengurangkan daya kekuatan pukulan ombak.
Di bawah program tersebut, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM1,168,993 kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perlis bagi pelaksanaan aktiviti pemuliharaan kawasan hutan paya laut. Sehingga 31 Disember 2023, seluas 30.40 hektar kawasan telah ditanam dengan 109,050 pokok bakau dan spesies-spesies pantai yang sesuai di negeri Perlis. Selain daripada aktiviti penanaman pokok, kempen kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan dan pengekalan hutan paya laut kepada para sukarelawan yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah, Institusi Pengajian Tinggi, Agensi Kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat turut dilaksanakan.
Dalam memastikan pengekalan kawasan hutan paya laut, Kerajaan Negeri Perlis melalui Jabatan Perhutanan Negeri Perlis telah berjaya mewartakan tanah kerajaan di Pulau Ketam, Kuala Perlis seluas 13.31 hektar sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) pertama daripada jenis hutan paya laut di Perlis pada 28 Ogos 2019. Selain itu, Pihak Berkuasa Negeri juga telah bersetuju untuk mewartakan kawasan Bakau KOMALAUT seluas 4.0 hektar sebagai Rizab Kawasan Lapang di bawah Kanun Tanah Negara dan diselenggara oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.
Sehingga kini, taburan hutan paya laut di negeri Perlis dianggarkan seluas 85 hektar, melibatkan empat kelompok di sepanjang 26 kilometer persisiran pantai Perlis bermula dari Kuala Perlis di bahagian Barat Laut Perlis sehingga ke Kuala Sanglang di bahagian Tenggara Perlis, iaitu Bukit Putih (3 hektar), Pulau Ketam (13 hektar), Bakau KOMALAUT (4 hektar) dan Kuala Sanglang (65 hektar).
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|