Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

03 April 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Tanah, Ukur dan Pemetaan, Geospatial

Nombor Soalan

4

Soalan

Tuan Manolan bin Mohamad minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah jalan penyelesaian dan tindakan yang diambil oleh Majlis Tanah Negara berhubung dengan isu penempatan dan kawasan Orang Asli di dalam negara yang sering mengganggu kehidupan serta ekonomi masyarakat Orang Asli.

Jawapan

Terima kasih Datuk Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Senator, 


Kawasan dan rizab Orang Asli perlu diwartakan secara sah oleh Pihak Berkuasa Negeri selaras dengan Seksyen 6 & 7, Akta Orang Asli 1954 [Akta 134] agar penempatan dan kawasan Orang Asli dapat terus terpelihara. Pewartaan tersebut tertakluk kepada proses tertentu misalnya kerja-kerja ukur dan penentuan kawasan yang berada di bawah tanggungjawab Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). 


Sebagai makluman, Majlis Tanah Negara ditubuhkan selaras dengan Perkara 91, Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri membentuk menerusi perundingan suatu dasar negara untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah di seluruh Persekutuan bagi maksud perlombongan, pertanian, perhutanan atau apa-apa maksud lain, dan untuk mentadbirkan mana-mana undang-undang yang berhubungan dengannya. 


Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-65 yang bersidang pada 4 Disember 2009 telah bersetuju dengan “Dasar Pemberimilikan Dan Pembangunan Tanah Kepada Orang Asli Untuk Kegunaan Pertanian Dan Kediaman” dengan beberapa syarat atau sekatan kepentingan. Objektif dasar ini adalah:


(a) membantu meningkatkan taraf sosioekonomi dan kualiti hidup Orang Asli melalui pembangunan tanah secara terancang dan bersepadu bagi memastikan mereka turut serta dalam arus pembangunan negara;


(b) mewujudkan budaya hidup positif dalam kehidupan Orang Asli tanpa mengamalkan budaya pindah randah; dan 


(c) mempercepatkan usaha pembasmian kemiskinan tegar dan mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan masyarakat Orang Asli. 


Sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal tanah merupakan bidang kuasa Pihak Berkuasa Negeri. Oleh yang demikian, pelaksanaan dasar yang dibentuk oleh Majlis Tanah Negara ini adalah bergantung kepada komitmen Pihak Berkuasa Negeri. Sebagai inisiatif, Kementerian ini akan menjemput Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk membentangkan status pelaksanaan dasar ini dan pewartaan tanah rizab Orang Asli dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) yang akan datang. 


Sekian, terima kasih.



Attachments