Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

04 April 2024

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Perhutanan, Biodiversiti

Nombor Soalan

61

Soalan

Dato' Ajis bin Sitin minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan sejauh manakah pihak Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menyediakan pagar penghalang atau pagar elektrik bagi mengelakkan daripada binatang buas seperti gajah dan harimau menceroboh masuk kawasan Orang Asli, merosakkan rumah, tanaman atau mencederakan penduduk di situ sebagai mana yang pernah berlaku dulu.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1. Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia telah mempergiatkan usaha untuk menangani konflik hidupan liar-manusia termasuk melalui penggunaan pagar penghadang atau pagar elektirk. 


2. Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) yang pertama telah dibangunkan di Kampung Rual – Kg Pasir Dusun, Jeli, Kelantan pada tahun 2009 dengan jarak sepanjang 15 kilometer. Sehingga kini, SPEG telah dilaksanakan di lokasi hotspot konflik bagi mengawal pencerobohan hidupan liar termasuk gajah dan harimau seperti berikut:


(i) 18 SPEG Kekal di seluruh Semenanjung Malaysia sehingga tahun 2023 dengan jumlah keseluruhan jarak SPEG tersebut sepanjang 305.6 kilometer; dan


(ii) 12 SPEG Mudah Alih di seluruh Semenanjung Malaysia bermula tahun 2019 hingga 2023 dengan jumlah keseluruhan jarak SPEG tersebut merangkumi sehingga 33.05 kilometer.


3. Pelaksanaan SPEG turut melibatkan kawasan Orang Asli iaitu pembinaan SPEG Kekal di 8 buah kampung Orang Asli dan SPEG Mudah Alih di 5 buah kampung Orang Asli di negeri Kelantan, Pahang dan Perak. Selain itu, 7 SPEG Kekal yang baharu akan dibina di 3 buah negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang dengan jumlah jarak keseluruhan 136 kilometer di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). 


4. Jabatan PERHILITAN juga menjalankan kerjasama dengan komuniti setempat termasuk masyarakat Orang Asli untuk memantau dan menyelenggara SPEG secara berkala dengan pemantauan Pejabat PERHILITAN Daerah yang terdekat.


Sekian, terima kasih.



Attachments