Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Perhutanan, Biodiversiti

Nombor Soalan

51

Soalan

Dato' Sivaraj A/L Chandran minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan adakah populasi binatang Harimau Malaya semakin berkurang akibat kegiatan penerokaan hutan untuk pembalakan dan perladangan serta apakah pendirian Kementerian untuk menggunakan teknologi yang digunakan oleh luar negara bagi menambah populasi binatang tersebut di Malaysia.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, berdasarkan Survei Harimau Kebangsaan Pertama (First National Tiger Survey – NTS1) yang dijalankan pada tahun 2016 hingga 2020, anggaran populasi Harimau Malaya terkini adalah kurang daripada 150 ekor. Pengurangan populasi Harimau Malaya adalah disebabkan beberapa faktor seperti kehilangan habitat dan sumber makanan akibat aktiviti pembukaan hutan dan perubahan guna tanah. Selain itu, Harimau Malaya juga menjadi sasaran utama aktiviti pemburuan dan perdagangan haram disebabkan permintaannya yang tinggi di pasaran. 


2. Jabatan PERHILITAN dengan kerjasama strategik Jabatan/ Agensi yang berkaitan di peringkat Persekutuan dan Negeri telah melaksanakan 9 tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun bermula tahun 2021 hingga 2030 seperti mana diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Jun 2021. Tindakan-tindakan yang dilaksanakan adalah melalui 3 pendekatan seperti berikut:


(i) mengukuhkan usaha bagi menghentikan penurunan populasi Harimau Malaya melalui rondaan penguatkuasaan dan pengawalan (boots on the ground) serta pemeliharaan dan pemuliharaan habitat semula jadi Harimau Malaya;


(ii) meningkatkan tadbir urus baik dan keberkesanan dalam melaksanakan konservasi Harimau Malaya melalui penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (National Tiger Conservation Task Force - MyTTF) yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, penubuhan Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah Jabatan PERHILITAN, penubuhan Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pengukuhan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai centre of excellence bagi konservasi ex-situ Harimau Malaya; dan


(iii) memperkasakan inisiatif bagi memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya melalui penyediaan instrumen kewangan inovatif dan skim akreditasi habitat Harimau Malaya.


3. Dalam aspek penggunaan teknologi bagi meningkatkan populasi Harimau Malaya, antara tindakan yang sedang dikaji oleh Jabatan PERHILITAN ialah mempergiatkan penggunaan teknologi pembiakan berbantu/ Assisted Reproductive Technology (ART) seperti artificial insemination (AI), laparoscopic AI, in-vitro fertilization (IVF). Jabatan PERHILITAN telah mengaplikasikan penggunaan ART ke atas Harimau Malaya melalui teknologi permanian beradas secara intra-vagina dan intra-cervical insemination di mana sebanyak 9 program permanian beradas telah dijalankan sejak tahun 2020. 


4. Jabatan PERHILITAN juga sedang dalam proses perolehan peralatan Laparoscopic Insemination System Set yang melibatkan penggunaan ART yang lebih canggih dan mempunyai peluang kejayaan yang lebih tinggi serta mengaplikasikan teknologi IVF pada masa akan datang.



Sekian, terima kasih.



Attachments