Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 15

Penggal

Penggal 3

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2024

Kategori

Mineral, Geosains

Nombor Soalan

145

Soalan

Datuk Bobbey Bin Suan minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah perkembangan kajian pontensi mineral strategik yang dilaksanakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia di Sabah menerusi peruntukan RM 20 juta di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan bilakah sumber ini dapat dioptimumkan sepenuhnya bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi Negeri Sabah.​​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,


  1. Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah diperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan Projek Kajian Potensi Mineral Strategik (MST) Ke Arah Sumber Yang Mampan di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). Kajian ini melibatkan empat (4) negeri iaitu Kedah, Perak, Johor dan Sabah yang dijalankan oleh JMG secara perkhidmatan tender.


  1. Pecahan kepada peruntukan sebanyak RM20 juta ialah RM6.5 juta di Johor, RM4.5 juta di Perak, RM4.5 juta di Kedah dan RM4.5 juta di Sabah. Untuk makluman Yang Berhormat, hanya RM4.5 juta sahaja diperuntukkan untuk Projek Kajian Potensi Mineral Strategik di Sabah bagi tempoh 3 tahun bagi tahun 2023 sehingga 2025.


  1. Di Negeri Sabah, projek tersebut melibatkan 3 komoditi merangkumi 5 kawasan kajian yang telah dikenal pasti. Komoditi yang terlibat adalah seperti berikut:


  1. komoditi logam bes di Mokodou, Ranau (keluasan 1km2), Pinggan-Pinggan (keluasan 1 km2) dan di Pitas (keluasan 1 km2);

  2. komoditi kumpulan logam platinum di Kapuakan, Ranau (keluasan 1.5 km2); dan

  3. komoditi pasir silika di Felda Sahabat, Lahad Datu (keluasan 2 km2) dan Pulau Balambangan, Kudat (keluasan 1 km2).


  1. Pada masa ini, projek ini berada dalam fasa terakhir pengdokumentasian tender dan akan mula diiklankan pada 22 Mac 2024. Kajian ini akan menghasilkan data sumber teragak (inferred resources) bagi semua komoditi di dalam kawasan kajian. Data yang dikumpul ini boleh dimanfaatkan oleh Kerajaan Negeri untuk mempromosi dan menarik pelabur berdasarkan kajian lanjut untuk menentukan kebolehlaksanaan dan kesesuaian kawasan. 



Sekian, terima kasih.



Attachments