Pertanyaan | Lisan | Dewan | Dewan Negara | Parlimen | Parlimen 15 | Penggal | Penggal 3 | Sesi | Mesyuarat Pertama | Tarikh Persidangan | 20 March 2024 | Tahun Persidangan | 2024 | Kategori | Alam Sekitar | Nombor Soalan | 30 | Soalan | Datuk Haji Aziz bin Ariffin minta MENTERI SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM menyatakan apakah status terkini terhadap usaha Kerajaan untuk mengatasi masalah pembuangan sisa elektrik dan elektronik (e- waste) dan sisa buangan pepejal yang tidak boleh dikitar semula bagi memastikan sisa pepejal negara diuruskan dengan baik dan mengurangkan pencemaran plastik selain memastikan Malaysia tidak menjadi 'tong sampah' bagi sisa plastik dari negara maju.
| Jawapan | Tuan Yang di-Pertua,
Untuk makluman, sisa elektrik dan elektronik (e-waste) adalah dikelaskan di bawah kod SW 110 di bawah Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127]. Bagi mengatasi masalah pembuangan e-waste, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melesenkan sebanyak 114 buah premis yang boleh menerima e-waste di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, terdapat tiga belas (13) buah fasiliti kemudahan pemerolehan kembali luar tapak sepenuhnya (Full Recovery Facility) bagi kod SW 110 yang menjalankan proses pemerolehan kembali sehingga menghasilkan logam seperti: Precious Metal seperti emas dan perak; Ferrous Metal seperti besi; Non-Ferrous Metal seperti aluminium dan kuprum; Plastik; dan Ceramic
Selain itu, sebanyak 101 buah premis telah dilesenkan untuk menjalankan aktiviti “partial recovery” iaitu menjalankan aktiviti pengasingan (segregation) dan pemecahan (crushing) sebelum dihantar ke premis (Full Recovery Facility) untuk proses seterusnya. Bagi sisa yang tidak boleh dikitar semula atau diguna semula, pemantauan yang ketat tetap dilaksanakan oleh pihak JAS dan sisa ini perlu dilupuskan secara (Environmental Sound Management) ESM di pusat pelupusan selamat.
Kementerian memandang serius berhubung isu pencemaran yang berpunca daripada sisa plastik. Dalam usaha mengurangkan pencemaran plastik, NRES telah memperkenalkan Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 dan Malaysia Plastics Sustainability Roadmap 2021-2030 (MPSR). Pelaksanaan inisiatif ini adalah bertujuan untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan memperluaskan konsep ekonomi kitaran dalam pengurusan plastik di Malaysia.
Selain itu, Kementerian melalui JAS sangat komited dalam menangani isu kemasukan sisa plastik secara haram ke negara ini. Bermula pada 1 Januari 2021, semua kelulusan pengimportan plastik ke Malaysia perlu melalui proses ‘Prior Inform Consent’ selaras dengan keperluan Konvensyen Basel yang mana Malaysia adalah salah satu negara yang telah menandatangani Konvensyen tersebut. Hanya syarikat pengimport yang mempunyai kelulusan lesen import AP daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) sahaja dibenarkan mengimport masuk sisa plastik dan kemasukan adalah berdasarkan kuota tahunan yang telah ditetapkan.
Sehubungan itu, JAS akan memastikan semua premis yang memproses sisa plastik mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya. Operasi penguatkuasaan akan dijalankan secara berkala untuk melihat pematuhan premis terhadap perundangan yang telah ditetapkan dan seterusnya dapat mencegah dan mengawal pencemaran alam sekitar daripada berlaku.
Sekian, terima kasih.
| Attachments |
|
|