Bahagian Tanah, Ukur dan Geospatial (BTUG) mengelola hal ehwal pentadbiran tanah, ukur dan pemetaan serta pengurusan maklumat geospatial bersepadu negara berpandukan kepada skop bidang kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan serta perundangan semasa.
TANAH
Tanah boleh dibahagikan kepada 5 kumpulan utama iaitu: tanah milik (tanah yang mempunyai hakmilik berdaftar), tanah lombong (tanah yang diberi pajakan lombong), tanah rizab (tanah yang dirizabkan untuk maksud awam di bawah Seksyen 62 KTN), tanah rizab hutan (tanah rizab yang diwarta di bawah Akta Perhutanan 1984) dan tanah kerajaan (semua tanah dalam negeri selain dari tanah rizab, tanah milik dan tanah rizab hutan).
Secara amnya, Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan [Jadual 9, Senarai 2] memperuntukkan hal ehwal tanah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, Perkara 76 (4) memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan bagi menggubal undang-undang yang seragam berkaitan pemegangan tanah, pendaftaran hakmilik dan urusniaga tanah kepada Kerajaan Persekutuan. Dengan kuasa perundangan ini, Kanun Tanah Negara (KTN) [Akta 828] telah digubal sebagai suatu undang-undang pengurusan dan pentadbiran tanah yang seragam bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sentiasa berunding untuk menyeragamkan dasar-dasar untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah serta mentadbir apa-apa undang-undang yang berkaitan dengannya di seluruh Semenanjung Malaysia. Rundingan ini dilaksanakan menerusi Majlis Tanah Negara sebagai forum rasmi yang ditubuhkan di bawah Perkara 91 (5), Perlembagaan Persekutuan.
Di samping hal ehwal dasar serta perundangan tanah, BTUG juga mengawal selia hal ehwal pengurusan tanah/rizab Persekutuan selaras dengan kuasa yang diperuntukkan oleh Perkara 83, 85 dan 86, Perlembagaan Persekutuan. Pengurusan tanah Persekutuan merangkumi tiga peringkat penting iaitu perolehan, penggunaan dan pelupusan tanah. Bagi memastikan pengurusan tanah Persekutuan yang efisien, tadbir urus yang berkaitan dilaksanakan berpandukan kepada tata kelola yang baik yang digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara (KTN), keputusan-keputusan Majlis Tanah Negara, keputusan Jemaah Menteri serta Hala Tuju Baharu Pengurusan Tanah Persekutuan (HTPTP) 2021-2030.
UKUR DAN PEMETAAN
Bidang ukur dan pemetaan terdiri daripada 2 teras utama iaitu ukur kadaster dan pemetaan. Aktiviti ukur kadaster dilaksanakan berdasarkan perundangan sedia ada seperti Kanun Tanah Negara 1965, Akta Jurukur Tanah Berlesen 1958, Akta Hak Milik Strata 1985 dan lain-lain lagi. Manakala aktiviti pemetaan dilaksanakan berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, memorandum persefahaman dan triti berkaitan persempadanan antara Malaysia dengan negara-negara jiran, serta arahan dan keputusan Jemaah Menteri dari semasa ke semasa.
Aktiviti ukur kadaster melibatkan ukuran bagi tujuan pengeluaran hakmilik tanah, hakmilik strata (hakmilik bagi bangunan berbilang tingkat dan petak tanah), hakmilik stratum (hakmilik bagi tanah bawah tanah) dan hakmilik spatium (hakmilik di ruang udara).
Aktiviti pemetaan pula merujuk kepada:
i) pengukuran, pemetaan dan penerbitan peta-peta topografi, tematik dan utiliti bawah tanah untuk tujuan perancangan, pengurusan sumber asli, pemuliharaan alam sekitar, pembangunan, pemantauan dan keselamatan;
ii) penyediaan kemudahan infrastruktur geodetik iaitu ukur aras, ukur graviti, cerapan pasang surut dan jaringan GPS;
iii) penentuan, penandaan, pengukuran dan pemetaan sempadan darat dan maritim antara negeri dan antarabangsa;
iv) penyediaan khidmat pemetaan geospatial pertahanan secara menyeluruh dan bersepadu untuk tujuan pertahanan dan keselamatan; dan
v) pengukuran, penghitungan dan penerbitan produk falak dan astronomi termasuk jadual arah kiblat, waktu solat, data rukyah hilal, takwim hijriah, air pasang surut dan maklumat gerhana serta almanak falak syarie.
GEOSPATIAL
PGN bertanggung jawab dalam mengurus pembangunan dan pelaksanaan Infrastruktur Data Geospatial Negara MyGDI sebagai Infrastruktur Data Geospatial Kebangsaan (NSDI) serta menyelaras perkongsian maklumat geospatial di kalangan agensi-agensi kerajaan, swasta dan awam.
Infrastruktur Data Geospatial Negara (MyGDI) merupakan inisiatif kerajaan untuk membangunkan infrastruktur data geospatial bagi meningkatkan kesedaran mengenai ketersediaan data dan meningkatkan akses kepada maklumat geospatial. Ini boleh dicapai melalui strategi perkongsian data geospatial secara pintar di kalangan agensi pembekal data yang terlibat. MyGDI, sebagai Infrastruktur Data Spatial Kebangsaan (NSDI) untuk Malaysia, merupakan infrastruktur data geospatial yang merangkumi dasar, polisi, standard, penyelidikan dan pembangunan teknologi serta kepakaran modal insan.
MyGDI menyediakan akses kepada maklumat geospatial, mengelakkan pertindihan usaha dalam pengumpulan data dan memastikan ketepatan, kekinian, kebolehpercayaan dan ketekalan data sedia ada untuk kegunaan analisis yang komprehensif dalam membantu pembuat keputusan menilai setiap tindakan atau keputusan yang dibuat.
Program MyGDI juga bermatlamat untuk menggalakkan komuniti geospatial di Malaysia berkongsi dan mengakses maklumat geospatial dengan mewujudkan perkongsian antara agensi kerajaan, akademia, awam dan swasta.