Program Manusia dan Biosfera (MAB) yang dilancarkan pada tahun 1971 merupakan program saintifik antara Kerajaan di bawah UNESCO yang menyediakan asas saintifik untuk pengurusan, pendidikan dan penyelidikan bagi memulihara dan mengguna sumber asli secara mampan. Selain itu, ia bertujuan memperbaiki pertalian antara manusia dengan alam sekitar dengan mengimbangkan keperluan pembangunan dan penjagaan alam sekitar.
Terdapat 651 tapak rizab biosfera dari 120 negara di dunia. Malaysia menyertai Program MAB pada tahun 2009 dengan mencalonkan Tasik Chini, Pahang sebagai tapak rizab biosfera pertama di Malaysia. Pada tahun 2014, Banjaran Crocker di Sabah telah berjaya disenaraikan sebagai tapak rizab biosfera kedua Malaysia.